Rabu, 27 Januari 2010

::LATAR BELAKANG TUAN GURU BESAR::

En. Md Rijani bin Md Ibrahim dilahirkan tanggal 16 Mei 1956 di Goergetown, Pulau Pinang. Suami kepada Puan Hamidah Binti Sukaroo yang juga merupakan seorang Guru Besar di SK Batu Kawan. Mereka dikurniakan 5 orang cahaya mata iaitu 4 putera dan seorang puteri.

En. Md Rijani mendapat pendidikan awal di Sekolah Francis Light, Pulau Pinang pada tahun 1963 hingga 1968. Beliau seterusnya melanjutkan pelajarannya di Sekolah Menengah St Marks, Butterworth pada tahun 1969 hingga 1973. Pada tahun 1976 beliau telah ditawarkan untuk mengikuti latihan perguruan di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang sehingga tahun 1977.
Setelah tamat latihan perguruan, beliau memulakan kariernya sebagai seorang guru di Sekolah Menengah Sungai Bakap, yang kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Syed Sheh Barakbah. Selama 16 tahun berkhidmat di sekolah itu, beliau menerima kenaikan pangkat pada tahun 1993 dan memegang jawatan sebagai Penyelia Sekolah Rendah di Pejabat Pelajaran Daerah Seberang Perai Selatan.

Selaku seorang Penyelia Sekolah Rendah di PPD Selatan, beliau begitu aktif dalam pelbagai urusan perkhidmatan pendidikan di peringkat daerah serta negeri dan ini menyebabkan beliau terpilih untuk mengikuti kursus pendek selama lima minggu di College of St Marks and St John, Plymouth, England dari Jun hingga Julai 1996.

Dengan khidmat tugas yang cemerlang, pada 1hb Februari 1997, beliau sekali lagi dinaikkan pangkat dan diberi kepercayaan bertugas sebagai Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Bayan Lepas. Masih terlalu awal beliau berkhidmat di SK Bayan Lepas, beliau diarahkan kembali bertugas di PPD Seberang Perai Selatan sebagai Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Sekolah Rendah) mulai 16 November 1997.

Lebih sedekad beliau mencurah baktinya pada PPD Seberang Perai Selatan, beliau di beri kepercayaan sekali lagi untuk menakhodakan sebuah sekolah cemerlang. Bersama pengalaman dan khidmat cemerlang, beliau memulakan tugas sebagai Guru Besar di Sek. Keb. Permatang Tok Mahat pada 13 oktober 2009. Semoga dengan pimpinan beliau, Sek. Keb. Permatang Tok Mahat semakin menonjol kebitaraannya bersama pelajar yang cemerlang, guru yang gemilang dan guru besar yang cukup terbilang.